B) Kepentingan Dasar Pendidikan Terhadap Pembangunan Pendidikan.

NURSHYIBAH BINTI MOHD YAZED (D20202096211) 

    Sistem pendidikan melalui sistem persekolahan merupakan elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam menuju ke arah membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik dan sosial. Sistem persekolahan bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat malahan ia merupakan satu saluran untuk menyampaikan kepada rakyat berkenaan dengan wadah perjuangan negara yang sangat mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum demi untuk mencapai perpaduan. Seperti yang semua sedia maklum, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama, dan adat resam di mana ia dikenali sebagai masyarakat majmuk. Pelaksanaan sistem pendidikan yang dijalankan perlu mengikut kepada keperluan dan kesesuaian masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain etnik serta beragama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian menjadi rujukan pihak pemerintah sebelum sesuatu dasar dirangka agar manfaat dan faedah dapat dirasai oleh semua golongan masyarakat. Melalui kepada pendidikan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bertoleransi, bekerjasama dan aspek-aspek moral diterapkan kepada masyarakat yang bertujuan untuk melahirkan pewaris negara yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya saing, bijak serta mempunyai sifat patriotik di mana ia penting untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat. Tambahan itu, sistem persekolahan yang terbaik adalah sistem persekolahan yang meliputi keseluruhan kehidupan masyarakat Malaysia, di mana ia tidak hanya terhenti apabila seseorang individu tamat persekolahan atau tamat pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi, tetapi ia menjadi kesinambungan dalam kehidupan hingga ke hari tua dengan memberi sumbangan bagi memartabatkan bangsa dan negara. Pendidikan, mengikut Plato, ialah suatu proses membentuk individu yang berakhlak mulia. Menurut Jean Jacues pula, pendidikan adalah sebagai suatu proses yang berterusan dan bermula dari masa kanak-kanak lagi. Dalam proses ini, segala kebolehan semulajadi lahir dengan sendirinya mengikut kehendak dan peraturan semulajadi (Mok Soon Sang, 2000:xvi). Masyarakat dan pendidikan adalah bergerak seiring kerana pendidikan adalah acuan membentuk insan. Oleh hal yang demikian, penulisan ini akan membincangkan berkenaan kepentingan dasar pendidikan terhadap pembangunan pendidikan iaitu dasar kebajikan, dasar solusi, dasar kawalan dan dasar inovasi.

    Pada zaman penjajahan British, dasar pendidikan melalui sistem persekolahan tidak menghasilkan keberkesanan yang positif terutamanya untuk perpaduan dan pelaksanaannya mempunyai banyak kelemahan kerana British hanya mementingkan keuntungan ekonomi dan kedudukan sendiri sahaja (Ibrahim Saad, 1986). Semasa penjajahan British, pihak inggeris juga telah mewujudkan sekolah vernakular Melayu, Cina dan Tamil (Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som, 1999:3-7). Kewujudan sekolah vernakular telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina dan India dipisahkan mengikut sistem persekolahan dan telah menyebabkan hubungan sesama kaum semakin renggang. Sekolah vernakular Melayu, Cina dan India mempunyai kepentingan tersendiri, terutama untuk kaum tertentu iaitu sekolah Melayu untuk kepentingan orang Melayu, sekolah Cina untuk kepentingan orang Cina dan sekolah Tamil untuk kepentingan orang India. Tetapi pihak British tidak memainkan peranan dengan adil terutamanya dari segi layanan yang setaraf kepada semua bangsa. Sebagai contoh, sekolah vernakular Melayu dan Tamil hanya terhad untuk sekolah rendah sahaja manakala sekolah vernakular Cina mendapat keistimewaan melalui sekolah rendah (6 tahun), junior middle (3 tahun) dan senior middle (3 tahun). Lulusan untuk sekolah Melayu hanya sekadar memenuhi keperluan tenaga manusia yang paling rendah. Di samping itu, berdasarkan kepada Laporan Razak 1956 yang dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1957 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menjadi printis ke arah pengukuhan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia. Selepas merdeka pada tahun 1957, Malaysia merupakan negara baru dan memulakan zaman untuk mengukuhkan semula pendidikan negara supaya selari dengan matlamat perpaduan nasional. Akta Pelajaran 1961 telah membuktikan tentang usaha murni yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat agar mereka lebih memahami dasar pendidikan yang dilaksanakan kerajaan demi kepentingan kepada masyarakat Malaysia yang majmuk.  

    Oleh dengan itu, antara kepentingan dasar pendidikan yang terdapat terhadap pembangunan pendidikan ialah dasar kebajikan. Pendidikan ialah perkhidmatan yang merupakan suatu kebajikan. Pendidikan adalah ke arah mengubah tahap pemikiran, keilmuan, kemahiran dan kemanusiaan kepada tahap yang lebih tinggi. Tambahan itu, pendidikan juga adalah satu agenda besar yang boleh mempengaruhi kualiti dan ketamadunan sesebuah bangsa di dunia. Manusia akan dianggap mundur sekiranya tiada pendidikan. Dalam hal ini, bagi melaksanakan dasar tersebut, pihak kerajaan Malaysia telah menyediakan peruntukan kewangan yang besar untuk menaja projek-projek pembangunan, prasarana dan perkhidmatan. Sebagai contoh dasar yang telah disediakan oleh kerajaan ialah dasar bantuan kewangan kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti Biasiswa, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Selain itu ialah dasar bantuan pendidikan seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Skim Susu dan derma, Pinjaman Buku Teks dan Perlindungan Pelajar iaitu Skim Insurans Pelajar. Berdasarkan kepada dasar kebajikan yang telah disediakan oleh kerajaan, terang lagi bersuluh bahawa ianya sedikit sebanyak mampu menjadi satu pentas utama bagi golongan pelajar yang kurang bernasib baik atau kurang berkemampuan bagi mendapatkan pendidikan yang sempurna dan selari dengan pelajar lain tanpa wujudnya alasan bahawa pendidikan hanya tertumpu kepada golongan yang berkemampuan sahaja.

    Selain itu, pihak kerajaan juga telah mewujudkan dasar solusi sebagai salah satu daripada kepentingan dasar pendidikan terhadap pembangunan pendidikan. Dasar solusi ialah sebuah dasar yang berkaitan dengan penyelesaian masalah yang memberi tumpuan kepada aspek sosial dan ekonomi. Dasar solusi ini berbentuk kreatif kerana ianya bertujuan untuk mengatasi segala masalah yang timbul. Interaksi yang berlaku tidak selalunya lancar, kerap kali interaksi yang berlaku mengalami gangguan dan halangan. Oleh dengan itu, dasar-dasar solusi didalam pendidikan ini akan mensejajarkan semula hala tuju, pelaksanaan dan perancangan yang dibuat didalam bidang pendidikan. Sebagai contoh dasar yang diwujudkan didalam konteks dasar solusi ialah 1 Murid 1 Sukan atau lebih dikenali sebagai (1M1S). Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) ini mewajibkan setiap murid untuk menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru itu, dengan adanya dasar ini ianya secara tidak langsung mampu untuk memupuk setiap daripada kalangan murid agar bergiat aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun serta mampu untuk melahirkan para pelajar yang bukan sahaja mahir dalam bidang kurikulum malahan dalam bidang kokurikulum juga. Selain itu, dasar solusi ini juga telah mewujudkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), keciciran sifat dan sekolah selamat.

    Seterusnya, kepentingan dasar pendidikan terhadap pembangunan pendidikan ialah dasar kawalan. Kawalan bererti mendisiplin. Mendisiplinkan merupakan penerapan dasar legislatif dalam bentuk akta yang mengenakan syarat dan hukuman. Dasar kawalan ini adalah bertujuan sebagai pencegahan,  pengajaran dan peringatan. Contoh yang terdapat didalam dasar kawalan ialah Kod etika, Peraturan dan Undang-Undang Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996. Sebagai contoh, didalam Akta Pendidikan 1996 ianya diperkenalkan adalah untuk memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam penyata pendidikan sebelum ini. Akta Pendidikan 1996 telah menggariskan beberapa perkara . Antaranya ialah mengutamakan ilmu pengetahuan kerana ilmu pengetahuan adalah penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa. Memantapkan sistem pendidikan kebangsaan bagi generasi muda sejajar dengan perubahan masa. Menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bermutu tinggi. Menggariskan perundangan berkaitan bidang pendidikan. Seperti yang dinyatakan, banyak peraturan yang telah ditetapkan dan wajib diikuti oleh pihak-pihak yang berkenaan. Contohnya, Peraturan-peraturan Pegawai Awam iaitu Kelakuan dan Tatatertib 1993; Pindaan 2002. Peraturan tersebut penting bagi memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan lebih cekap dan amanah serta bertanggungjawab.

    Tambahan itu, kepentingan dasar pendidikan terhadap pembangunan pendidikan ialah dasar inovasi. Dasar inovasi ialah bertujuan membawa dan memberi pembaharuan didalam pendidikan Negara. Dasar inovasi ini bersifat futuristik-pragmatik kerana membawa pendidikan kearah keadaan yang lebih baik dari tahap yang sedia ada. Contoh dasar inovasi ialah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah didalam semua aspek pendidikan. Sekolah Berprestasi Tinggi ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa dan menjadi sekolah pilihan utama. Disamping itu, contoh dasar didalam konteks dasar inovasi ialah TVET. TVET merupakan singkatan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri. TVET juga diperkenalkan adalah bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global. TVET mengupayakan pendekatan yang diterajui industri adalah penting untuk menyediakan modal insan yang diperlukan industri terutama untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktviti berasaskan pengetahuan selari dengan aspirasi menjadi negara maju. ICT dalam pendidikan ialah contoh dasar inovasi yang diketengahkan  kerana kepesatan pembangunan di Malaysia dalam bidang ekonomi, sosial, politik dan pendidikan di peringkat Asia bukan lagi suatu igauan kosong. Impak globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat menuntut agar beberapa perubahan dilaksanakan dalam sistem pendidikan. Kualiti pendidikan negara akan bertambah baik sekiranya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) digunakan kerana ia mampu meningkatkan minat dan motivasi untuk belajar, di samping mempercepatkan proses belajar tanpa halangan. Dalam hal ini, dasar inovasi yang dilaksanakan oleh kerajaan juga ialah penubuhan sekolah bakat iaitu Sekolah Seni Malaysia (SSeM) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM). Penubuhan Sekolah Seni Malaysia adalah sejajar dengan usaha KPM sebagaimana yang terkandung didalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa dengan mempeluas akses dan meningkatkan kualiti pendidikan selari dengan usaha untuk mengukuhkan sistem pendidikan negara yang lebih menyeluruh dan bukan berkisar kepada akademik semata-mata. Sekolah Seni Malaysia juga ditubuhkan untuk memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak muda Malaysia untuk berkarya dalam bidang seni dan tidak hanya bergantung kepada kerjaya tertentu sahaja sebaliknya mereka boleh membentuk kerjaya dalam bidang seni. Tambahan itu, Sekolah Sukan Malaysia (SSM) pula ditubuhkan untuk mengumpul atlet murid yang berpotensi supaya bakat cemerlang sukan dan akademik mereka dapat dipupuk serta dipertingkatkan di bawah bimbingan jurulatih yang berdedikasi serta guru-guru akademik yang terpilih. Melalui pengawasan yang lebih tersusun dan cekap, peningkatan prestasi akademik dan sukan dapat diseimbang dan disepadukan. Dari aspek pengurusan dan pentadbiran, sekolah ini secara keseluruhannya mengikut kepada konsep Sekolah Berasrama Penuh yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sukan dan akademik.

    Kesimpulannya, perkembangan pendidikan di Malaysia ternyata mengalami banyak perubahan, terutamanya sejak daripada zaman penjajahan sehinggalah zaman selepas merdeka. Perkembangan masyarakat seiring dengan perkembangan dasar-dasar negara yang sentiasa ditambah baik untuk memastikan setiap daripada keperluan rakyat terbela. Perubahan yang berlaku didalam sektor pendidikan menjadi intipati penting dalam pengukuhan perpaduan negara ke arah yang lebih baik kerana pendidikan menjadi peneraju kepada pembentukan masyarakat. Kepentingan dasar pendidikan terhadap pembangunan pendidikan yang dilaksanakan adalah sebagai langkah utama oleh pihak kerajaan bagi memastikan sistem pendidikan sentiasa berkembang maju dan selaras kepada semua masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa serta untuk memberi peluang kepada setiap pelajar bagi menonjolkan bakat yang terpendam pada dirinya agar mampu menjadi aset pewaris negara terhadap bidang-bidang yang diceburi. Oleh dengan itu, untuk mencapai matlamat pendidikan yang kukuh, seluruh masyarakat perlulah berganding bahu seiring dengan usaha murni kerajaan melalui dasar-dasar dan rancangan baru yang dilaksanakan. Mutu pendidikan yang sempurna serta hubungan masyarakat yang harmoni menjadi tunggak kejayaan yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju. 

 


Comments

Popular posts from this blog

Rumusan